Catcha Digital Berhad (Catcha Digital) membeli 51 peratus saham Nexible Solutions Sdn Bhd (Nexible), syarikat yang yang pakar dalam penyelesaian perisian berkuasa AI berjumlah RM11.38 juta. Pembelian tersebut adalah salah satu strategi Catcha Digital untuk berkembang dalam bidang IT, secara khususnya dalam penyelesaian software-as-a-service (SaaS) dan artificial intelligence (AI).
Nexible mempunyai produk utama, Outperform iaitu platform automasi jualan berasaskan AI yang membantu perniagaan menguruskan prospek dan hubungan pelanggan, terutamanya dalam sektor hartanah.
Syarikat itu turut merancang untuk melancarkan produk baru dipanggil ‘Outperform AI Agent’ pada suku pertama 2025 yang dijangka akan membawa transformasi ini ke peringkat seterusnya dengan memperkenalkan Agentic AI untuk automasi sepenuhnya proses pra-jualan seperti menguruskan prospek dan menetapkan temu janji.
Pembelian saham ini memberikan manfaat kepada kedua-dua syarikat di mana Catcha Digital akan dapat menawarkan produk SaaS Nexible kepada pelanggan sedia ada dan boleh meningkatkan penyelesaian pengiklanan digital manakala Nexible pula, mereka akan mendapat akses kepada kepakaran dan sumber Catcha untuk memperluas pasaran ke seluruh ASEAN.
“Perjanjian ini selaras dengan matlamat Catcha Digital untuk menjadi peneraju ekonomi digital yang pesat berkembang di ASEAN”, kata Patrick Grove, Pengerusi Catcha Digital.
Ananprakash A/L Saminathen, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Nexible berkata syarikat itu berharap dapat memanfaatkan kepakaran dan rangkaian Catcha untuk membawa Outperform ke pasaran yang lebih luas di seluruh ASEAN kemudian di peringkat global.
Sementara itu, jumlah RM11.38 juta tersebut akan dibayar dalam empat peringkat di masa hadapan berdasarkan pencapaian Profit After Tax (PAT Guarantee) dari 2024 hingga 2027. Sasaran PAT adalah seperti berikut:
- RM700,000 (31 Disember 2024)
- RM1,200,000 (31 Disember 2025)
- RM2,200,000 (31 Disember 2026)
- RM3,300,000 (31 Disember 2027)