Hasrat sepasang suami isteri untuk menyambut kelahiran anak sulung bertukar menjadi detik hitam apabila bayi mereka meninggal dunia selepas dilahirkan dalam keadaan songsang di bilik air rumah mereka di Puncak Alam pada 19 November lalu.
Kisah menyayat hati itu dikongsikan di Facebook Mr Wan Cai Official, yang menceritakan detik cemas bermula sekitar 5.40 petang apabila si ibu tiba-tiba mengadu sakit perut seperti tanda mahu bersalin. Melihat keadaan isterinya, si suami segera menghubungi talian kecemasan 999 namun panggilan pertama tidak dijawab.
Dalam keadaan sakit yang semakin kuat, si ibu berjalan menuju ke bilik air kerana merasakan proses kelahiran sudah bermula. Si suami terus mencuba menghubungi talian kecemasan dan akhirnya panggilan dijawab, namun talian terputus beberapa saat kemudian.
Bayi Keluar Songsang, Si Ibu Terpaksa Meneran Sendiri
Menurut perkongsian itu, si suami mendapati isterinya sudah terbaring di lantai bilik air, dengan bayi mereka keluar dalam keadaan songsang bahagian kaki hingga leher sudah kelihatan.
“Si suami memegang tubuh bayi yang masih tersangkut pada rahim, tetapi tidak berani menariknya keluar walaupun didesak oleh isterinya.”
Usaha Menyelamat Gagal, Bayi Disahkan Meninggal
Si suami kemudian menghubungi semula talian kecemasan dan panggilan akhirnya berjaya disambungkan kepada operator perubatan. Operator tersebut membimbingnya membuat CPR pada bayi mereka, namun tiada sebarang tindak balas.

Petugas perubatan yang tiba kemudian mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia. Ibu dan bayi dibawa ke Hospital UiTM Puncak Alam untuk tindakan lanjut termasuk bedah siasat.
Suasana Hiba Ketika Pengurusan Jenazah
Jenazah bayi, Muhammad Amir Faris, dibawa ke Bilik Wakaf Jannatul Firdaus untuk pengurusan akhir. Dalam suasana penuh emosi, si bapa diberi peluang memandikan sendiri jenazah anaknya.
Selepas solat zuhur, jenazah kecil itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang.
“Selesai dikebumikan, si ibu turun dari kereta dan berdiri di sisi pusara… terdengar kata-kata ‘maafkan mama’ diungkapkan. Ramai yang berada di situ tidak dapat menahan sebak,” tulis perkongsian itu.
Tragedi ini meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga tersebut, menjadi pengingat betapa setiap detik kelahiran membawa risiko dan perlunya bantuan kecemasan yang cepat dan berkesan.
