Jika dahulu selebriti Azwan Ali sering menjadi perhatian netizen kerana kelantangannya dalam media sosial mengkritik kerajaan, namun namanya kini menjadi sebutan kerana dianggap sebagai ‘cakap tak serupa bikin’ oleh netizen.
Ini berikutan tular mengenai elaun ‘sara hidup’ yang diterima Azwan atau nama sebenarnya Mohamed Azwan Ali daripada abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
“Sejak Azwan Ali kantoi dapat ‘elaun sara diri’ dari abang dia, terus dia tak bagi ‘followers’ nak komen dekat hantaran (ciapan) Begitulah roda kehidupan. Minggu lepas kau kat atas. Minggu ini kau kat bawah.” twit seorang pengguna media sosial di laman Instagram.
Pengacara TV terkenal itu sebelum ini memang dikenali sebagai seorang yang cukup berani mengkritik kerajaan hatta abangnya sendiri namun segala-galanya berubah apabila dia seolah-olah mengaburi mata orang ramai yang memberi kemewahan kepada dirinya.
Azwan juga turut menggunakan kata-kata kesan dan bahasa kasar kini seolah-olah dibenci netizen kerana dianggap sebagai hipokrit dan bermuka-muka.