Kesatuan pekerja perkhidmatan awam Cuepacs membidas cadangan supaya penjawat awam sendiri membuat sumbangan ke dalam tabung persaraan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad dipetik akhbar TheSun membayangkan cadangan itu di mana penjawat awam menyumbang sendiri ke dalam KWAP, sama seperti pekerja swasta yang menyumbang ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“KWAP baru sahaja ambil alih pengurusan wang pencen dan dia sudah mula bercakap seperti ini,” kata Presiden Cuepacs Azih Muda kepada FMT, kesal dengan langkah itu.
Wan Kamaruzaman berkata demikian kerana menurutnya ada kemungkinan skim pencen yang wujud pada masa ini dimansuhkan kerajaan.
“Kita mungkin perlu bertukar kepada skim seperti KWSP,” katanya.
Azih bagaimanapun berkata Wan Kamaruzaman tidak perlu membuat keputusan bagi pihak kerajaan, dan menambah hak penjawat awam dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Beliau tidak ada kuasa memutuskan sama ada kerajaan perlu mengubah skim persaraan atau tidak,” kata Azih.
KWAP bertanggungjawab menguruskan dana bagi mencapai pulangan melalui pelaburan dalam membantu kerajaan membiayai pencen penjawat awam
Skim tersebut menjamin pembayaran pencen sepanjang hayat berupa setengah daripada gaji terakhir penjawat awam yang bersara pada usia 60.
Sejak November 2015, KWAP mengambil alih tugas pembayaran pencen kepada 700,000 pesara kerajaan.