Kesedaran rakyat Malaysia mengenai pedofilia boleh dikatakan kurang. Ramai tidak menyedari bahawa, dalam kalangan masyarakat, wujud golongan yang tertarik secara seksual kepada kanak-kanak termasuk bayi.
Disebabkan itu, apabila seseorang mendakwa kononnya mempelajari mengenai kemaluan kanak-kanak yang bermasalah, dan meminta gambar kemaluan kanak-kanak perempuan dari netizen Facebook, ada yang memberi gambar yang diminta tanpa berfikir panjang.
Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Jalina Ain telah menulis komen di Facebook meminta mereka yang mempunyai anak perempuan yang mengalami masalah kemaluan untuk menghantar mesej peribadi kepadanya.
Apa yang mengejutkan, ramai pula yang memberi respon terhadap pengguna Facebook mengaku seorang doktor itu, seolah-olah tidak menyedari ia sebenarnya hanya helah pedofil untuk mendapatkan bahan lucah kanak-kanak.
Jalina Ain juga mendakwa seorang ibu kepada dua anak perempuan.
Seorang pengguna Facebook bernama Syakilla Nordin turut menulis mengenai sikap sesetengah pengguna Facebook yang terlalu mudah percaya dan tidak menyedari sedang ditipu oleh pedofil. Khabarnya, pedofil tersebut meminta gambar kemaluan kanak-kanak perempuan dihantar kepadanya melalui aplikasi WhatsApp.
Pada pendapat penulis ada baiknya mereka yang telah menghantar gambar kepada pedofil tersebut membuat laporan polis supaya polis boleh membuka kertas siasatan untuk mengenal pasti identitinya yang sebenar dengan kerjasama Facebook.
Tambahan pula tiada cabang urinelogi dalam bidang perubatan, yang ada ialah urologi.
Sila berhati-hati dengan golongan pedofil dan jangan terlalu mudah mempercayai sesuatu yang melibatkan gambar alat sulit kanak-kanak di media sosial. – amazingnara.com