Seorang bapa didapati bersalah kerana menyebabkan kematian dua anak lelakinya yang juga kanak-kanak autistik dengan menenggelamkan kereta dinaiki mereka untuk mendapatkan insurans nyawa.
Ali Elmezayen, 45 dari California dijatuhi hukuman penjara selama 212 tahun atas kesalahan yang dilakukannya. Dia memandu kereta bersama bekas isteri dan dua anaknya ke sebuah dermaga di San Pedro, selatan Los Angeles pada enam tahun yang lalu.
Semasa kejadian, mangsa masing-masing berusia lapan dan 13 tahun lemas, manakala bekas isteri, Raba Diab telah diselamatkan seorang nelayan tempatan.
Ali berjaya keluar dari kereta berkenaan melalui tingkap sebelah pemandu dan berenang ke tepian dermaga.
Berikutan kematian dua anak lelakinya, dia berjaya mengumpulka n lebih RM1.06 juta untuk polisi insurans nyawa daripada dua syarikat.
Pihak berkuasa mendakwa Ali memindahkan sebahagian besar jumlah wang ke Mesir dan RM328,600 dirampas dari akaunnya di Amerika Syarikat (AS).
Hakim Daerah AS, John Walter menjatuhkan hukuman penjara 212 tahun dan mengecam tindakannya sebagai perbuatan jenayah yang keji.
Ali dihukum pada Oktober 2019 atas tuduhan penipuan, pencurian identiti dan penggubahan wang haram dan masih berdepan tuduhan pembunuhan anak-anaknya.