Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 34 tahun terhadap bekas finalis MasterChef Malaysia, Etiqah Siti Noorashikeen Sulang, 37, dan bekas suaminya, Mohammad Ambree Yunos, 44, selepas didapati bersalah membunuh pembantu rumah warga Indonesia mereka pada 2021, lapor The Star.
Kes tragik itu membabitkan mangsa, Nur Afiyah Daeng Damin, 28, yang dipercayai dibunuh antara 8 hingga 11 Disember di kediaman pasangan itu di Amber Tower, Penampang. Ambree turut dikenakan hukuman 12 sebatan manakala Etiqah dikecualikan kerana faktor jantina.
Menurut Hakim Lim Hock Leng, pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah, manakala bukti menunjukkan mangsa mengalami kecederaan teruk akibat penderaan berterusan.
Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus memohon hukuman berat, menyifatkan kes itu kejam dan mengejutkan negara, apatah lagi mangsa didera setiap hari, tidak dibayar gaji, serta dinafikan hak untuk pulang ke tanah air.
Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.