Selepas membeli rumah pertamanya pada September lalu, penyanyi rap Bunga Isme berazam untuk membeli rumah kedua pada tahun hadapan.
Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini berjaya membeli rumah pertamanya hanya selepas dua tahun bergelar seorang penyanyi.
Menurut Bunga, rumah pertama yang dibeli adalah hadiah untuk ibunya, Siti Rohani manakala rumah kedua yang bakal dibelinya kelak adalah buat dirinya sendiri.
Tahun depan saya berusia 22 tahun dan saya berazam untuk habis belajar, muncul dengan album sendiri dan ingin membeli sebuah rumah lagi.
Bunga turut memberitahu yang dia berazam akan bekerja dengan lebih keras dan meletakkan impian tersebut sebagai sasaran yang perlu dicapai olehnya.
Terdahulu, Bunga mendedahkan yang dia telah menabung untuk membeli rumah jenis kondominium yang terletak di Hulu Langat, Selangor sebagai hadiah buat ibunya.
Berkongsi tentang karier seni, Bunga tidak menyangka single Intan Payung dendangannya bersama Noraniza Idris berjaya mara ke Separuh Akhir Muzik-Muzik 36 kerana dia masih hijau dalam bidang muzik.
Namun begitu, Bunga berjanji akan melakukan yang terbaik meskipun Noraniza tidak akan bersamanya kerana mengerjakan umrah ketika pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 36 berlangsung selama dua hari bermula 31 Disember depan.