Satu insiden telah berlaku di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur dan mendatangkan kecederaan kepada seorang pekerja warga asing Bangladesh.
Bumbung di lobi Hotel Hilton Kuala Lumpur di KL Sentral roboh ketika proses penyelenggaraan sedang berlangsung pada awal pagi tadi.
Runtuhan berlaku akibat kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan pada pendawaian elektrik.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, panggilan kecemasan dibuat pada 3.40 pagi, selepas siling bersaiz kira-kira 140 meter persegi jatuh dengan jarak 12m dari siling ke lantai lobi.
Sebahagian kawasan restoran dan kawasan lobi yang mengalami kerosakan akibat runtuhan tersebut ditutup buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak.
Mangsa mendapat rawatan segera dan kecemasan di lokasi berkenaan dan dibawa ke Pusat Rawatan Universiti Malaya yang berdekatan untuk mendapat rawatan susulan.
Proses penyelenggaraan yang dilakukan semalaman itu telah mendapat kelulusan dan dilakukan oleh kontraktor yang diiktiraf serta dikawal selia untuk memastikan keselamatan tetapi malang tidak berbau, siling itu runtuh dan mencederakan salah seorang pekerja.
Seramai 26 orang anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia mengambil bahagian dalam operasi ini. Pemeriksaan seterusnya yang lebih teliti dibuat di lobi hotel berkenaan untuk memastikan keselamatan keseluruhan kawasan runtuhan dan berdekatan terjamin.
Antara restoran dan kafe yang ditutup ialah ORO Cafe dan Chambers Bar.
Sumber: Free Malaysia Today