Buku berjudul Rebirth: Reform, Resistance, And Hope In New Malaysia sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila rekaan muka hadapannya yang didakwa menghina dan mengubah suai Jata Negara. Pelbagai pendapat diberikan susulan kontroversi yang dikatakan tercetus tanpa sengaja itu.
Terbaru, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah pun mengharamkan penjualan buku tersebut. Menurut Warta Kerajaan bertajuk Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2020, ia membabitkan larangan secara mutlak terhadap buku berkenaan.
Turut dinamakan dalam Warta Kerajaan itu, pencetak buku berkenaan, Vinlin Press Sdn Bhd yang beralamat di Puchong. Warta Kerajaan itu menyebut perintah itu dibuat melalui peruntukan mengikut subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301] yang membolehkan Menteri membuat perintah berkenaan.
“Pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pekeliling, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan dalam jadual yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan, menggemparkan fikiran orang ramai, berlawanan dengan mana-mana undang-undang dan memudaratkan kepentingan negara adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia.”
Polis sebelum ini telah menyerbu pejabat sebuah syarikat penerbitan yang dikaitkan dengan penghinaan terhadap logo Jata Negara di Seksyen 11, Petaling Jaya, selain merampas 313 naskah yang masih tersimpan dan belum terjual.
Turut dilaporkan bahawa siasatan mendapati syarikat penerbitan itu mencetak sebanyak 1,000 naskhah untuk edaran dengan 687 sudah pun terjual melalui jualan dalam talian, menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.