Seorang wanita yang tular selepas didakwa menjadikan kerusi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 sebagai ‘rumah sementara’ disahkan mempunyai kad mental dan telah diserahkan kepada Hospital Kajang untuk tindakan lanjut.
Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintenden Albany Hamzah memaklumkan, pihaknya menerima aduan mengenai kekacauan yang ditimbulkan wanita warga tempatan itu sebelum anggota polis dikerahkan ke lokasi.
Selepas pemeriksaan dijalankan, wanita berkenaan didapati mempunyai kad mental. Susulan itu, dia telah diserahkan kepada Hospital Kajang pada Khamis lalu bagi rawatan dan pemantauan lanjut.
Sebelum ini, tular sebuah video di aplikasi TikTok yang memaparkan seorang wanita dipercayai gelandangan bertindak agresif dengan memarahi penumpang di KLIA. Menerusi rakaman dimuat naik oleh akaun Hijrah Route, wanita tersebut dilihat bertengkar dengan individu lain selepas didakwa memarahi kanak-kanak yang bermain di kawasan sekitar.
Dalam perkembangan berkaitan, KLIA Terminal 1 dilaporkan menjadi ‘rumah sementara’ kepada beberapa individu apabila sekurang-kurangnya lima gelandangan termasuk lelaki dan wanita dikesan menghuni kawasan itu sejak lebih setahun lalu.
Difahamkan, golongan berkenaan tidak menetap lama di KLIA bagi mengelakkan ditahan, sebaliknya berpindah-randah termasuk menjadi gelandangan di sekitar ibu negara.
Tinjauan selama hampir tiga jam mendapati, golongan tersebut menjadikan kerusi di balai pelepasan sebagai tempat tidur, manakala tandas di tingkat empat digunakan untuk membersihkan diri.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai agar melaporkan sebarang insiden yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam kepada pihak pengurusan lapangan terbang atau polis. – KOSMO ONLINE
Selain itu kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

