Filem adaptasi daripada siri animasi tempatan popular era 90-an, Keluang Man, bakal menampilkan satu lagi watak penting yang masih belum didedahkan iaitu watak Tiong Man atau Samad, sahabat karib kepada Keluang Man.
Jika watak Tiong Man muncul dalam sekuel akan datang, ramai yang mula berspekulasi bahawa pelakon dan penyanyi Naim Daniel bakal membawa watak tersebut.
Susulan itu, Penerbit Eksekutif filem Keluang Man, Raja Jastina Raja Arshad menegaskan bahawa Naim tersebut bukanlah pelakon yang akan menjayakan watak Tiong Man seperti yang didakwa orang ramai.
Kami masih belum membuat keputusan siapa yang akan memegang watak-watak dalam sekuel filem Keluang Man.
Bila kami benar-benar pasti siapa yang akan memegang watak apa nanti, kami akan dengan gembiranya mengumumkan kepada semua.
Jadi Naim Daniel bukan Tiong Man. Not at this moment(bukan untuk waktu sekarang).
Menurut Kosmo! Online, Jastina turut memberitahu pasukan kreatif Keluang Man masih lagi sedang menggarap jalan cerita dan watak-watak yang akan muncul dalam sambungan filem itu kelak.
Sebelum ini, kemunculan Naim dalam beberapa babak filem arahan Anwari Arshad itu telah mencetuskan spekulasi dalam kalangan penonton, kononnya dia bakal membawa watak sebagai ‘sidekick’ kepada Keluang Man yang dilakonkan oleh Nas-T.
Semalam, Naim telah didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan yang berusia 17 tahun di sebuah hotel pada 19 Mei yang lalu.
Disebabkan itu, timbul kebimbangan dalam kalangan netizen bahawa kontroversi tersebut mungkin menjejaskan peluang Naim untuk memegang watak Tiong Man dalam sekuel akan datang.
Namun begitu, setakat ini masih belum ada sebarang pengesahan rasmi bahawa watak tersebut akan dilakonkan oleh Naim.