Sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat untuk mengaitkan bau badan yang kurang menyenangkan dengan sikap tidak menjaga kebersihan diri. Namun, satu perkongsian di media sosial baru-baru ini membuktikan bahawa tanggapan tersebut tidak semestinya benar.
Seorang pengguna Threads, @husnazaris, berkongsi pengalaman bertemu seorang pemandu sebuah syarikat e-hailing yang mempunyai bau badan hanyir namun puncanya bukanlah kerana pengabaian kebersihan, sebaliknya disebabkan penyakit jarang ditemui.

Menerusi gambar yang dikongsikan, pemandu tersebut meletakkan satu notis di bahagian belakang tempat duduk sebagai makluman kepada penumpang.
“Hello saya pemandu yang mengalami masalah metabolisme (Metabolic Disorder), masalah yang tiada ubat tetapi saya pembersih, harap maaf,”
Notis itu secara tidak langsung membuka mata ramai bahawa ada keadaan kesihatan tertentu yang berada di luar kawalan seseorang individu.
Apa Itu TMAU?
Penyakit yang dimaksudkan dikenali sebagai Trimethylaminuria (TMAU), atau lebih dikenali sebagai sindrom bau ikan.
Ia merupakan gangguan metabolik yang jarang berlaku, di mana tubuh tidak mampu memecahkan sebatian kimia dipanggil trimethylamine. Dalam keadaan normal, bahan ini akan diproses menjadi tidak berbau.

Namun bagi penghidap TMAU, bahan tersebut terkumpul dalam badan dan dilepaskan melalui peluh, air kencing dan pernafasan menyebabkan bau kuat seakan ikan busuk.
Walaupun Berpenyakit, Tetap Jaga Kebersihan
Menurut individu yang berkongsi pengalaman tersebut, pemandu berkenaan sebenarnya sangat menjaga kebersihan diri dan kenderaannya.
Malah, dia menyatakan tidak menghidu bau yang kuat seperti yang digambarkan, walaupun mempunyai deria bau yang sensitif. Pemandu itu juga dilihat berusaha mengurangkan bau dengan mengunyah gula-gula getah.
Keadaan kereta yang bersih dan wangi turut memberikan pengalaman perjalanan yang selesa.
Jangan Terburu-Buru Menghukum
Perkongsian ini membuka mata ramai tentang kewujudan penyakit jarang seperti TMAU yang mungkin tidak diketahui umum.
Kesedaran terhadap penyakit seperti ini bukan sahaja menambah pengetahuan, tetapi juga membantu membentuk masyarakat yang lebih empati dan memahami.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
