Dua kumpulan tarian singa di Johor mendakwa menjadi mangsa penipuan sindiket ah long yang menggunakan mereka sebagai ‘alat’ untuk menakut-nakutkan peminjam, memetik The Rakyat Insight.
Kumpulan pertama, Persatuan Tarian Naga dan Singa Kulai Hua Yi, menerima tempahan kononnya untuk kejutan sambutan hari jadi di Taman Johor Jaya pada 6 April. Namun semasa persembahan berlangsung, penghuni rumah kelihatan bingung dan menafikan ada sambutan.
Ketua kumpulan, Lai En Liang berkata, apabila dihubungi semula, pelanggan enggan membayar dan sebaliknya menawarkan ‘tugasan’ lain dengan bayaran RM1,000 bagi setiap lawatan ke rumah peminjam.
Kumpulan kedua, Hok Quan Lion Dance Johor Bahru, turut mengalami insiden hampir sama di Taman Pelangi. Walaupun menerima deposit RM300, mereka juga tidak dibayar sepenuhnya dan mendapati mereka telah dipergunakan untuk mengintimidasi penghuni rumah.
Keadaan menjadi lebih mencurigakan apabila mereka melihat karangan bunga pengebumian diletakkan di hadapan rumah, dipercayai sebagai bentuk tekanan psikologi kepada peminjam.
MCA Johor Sedia Bantu Kumpulan Tarian Singa Jadi Mangsa Ah Long
Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan Pemuda MCA Johor, Henry Mok, berjanji akan membantu dua kumpulan tarian singa yang diperdaya ah long, termasuk memudahkan mereka membuat laporan polis.
Beliau turut mendedahkan satu lagi kumpulan turut menjadi mangsa penipuan sama dan mengecam tindakan menyalahgunakan tarian singa — simbol kegembiraan dan muhibah — sebagai alat ugutan.
Henry Mok turut menyeru kumpulan lain yang pernah mengalami kejadian serupa agar tampil membuat aduan demi mencegah insiden berulang.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.