Baru-baru ini selebriti popular Neelofa meluahkan rasa terkilan dan sedih dengan sikap sesetengah orang Melayu yang didakwanya mahu menjatuhkan bangsa sendiri. Kenyataan itu dibuat susulan kontroversi melibatkan jenama susu pisang Nilofa yang didakwa ‘overclaim’ tentang khasiat daripada sudut kesihatan.
Pada masa yang sama, Dr Amalina Bakri menerusi akaun Twitternya meminta tiada pihak memainkan isu serta menggunakan alasan perkauman untuk menutup kesalahan yang dilakukan.
Apa yang disuarakan oleh Dr Amalina bukanlah kerana mahu mencetuskan perbalahan, sebaliknya sebagai seorang doktor, dia harus menyampaikan fakta yang betul serta memberikan kesedaran kepada masyarakat terhadap produk yang berkemungkin boleh menjejaskan tahap kesihatan pengguna.
Bagaimanapun, dia tidak menyatakan secara khusus status itu ditujukan kepada siapa. Namun, rata-rata netizen menganggap ia mungkin berkaitan dengan isu terbaru melibatkan Neelofa.
Terdahulu, risalah berkaitan susu pisang Nilofa mengelirukan pengguna apabila produk tersebut dikatakan boleh mengurangkan tekanan darah, obesiti, meningkatkan kadar metabolisma serta membantu membuang toksik dari badan. Difahamkan, produk Nilofa turut diperiksa oleh pihak KKM di kilang dan juga gudang. Mereka meminta agar pihak Nilofa HQ mengubah pembungkusan susu tersebut.