Sering kita dengar mengenai kisah ibu bapa yang diabaikan oleh anak-anak dan ianya menjadi satu isu yang sangat menyayat hati, malah ada adik beradik yang sanggup putus silaturahim kerana sering bertengkar soal penjagaan ibu bapa.
Berbeza pula dengan situasi yang dihadapi oleh seorang gadis dikenali sebagai Arni Suhaila Rahmat yang berkongsi cara berkesan bagi mengelak pergaduhan adik beradik dalam menjalankan tanggungjawab menjaga ibu bapa bersama.
Menurut Arni, malang sungguh bagi ibu bapa yang tidak menyedari bahawa anak-anak mereka telah dewasa tetapi lebih malang lagi bagi anak-anak yang terlupa bahawa ibu bapa mereka telah semakin tua.
Aku ada 5 adik, aku nombor dua. Kakak aku dah takde. Bila dah ramai adik beradik ni wajib ada sistem peraturan yang tak membebankan satu sama lain.
Jelanya, apbila ibu bapa memerlukan bantuan, jika yang empunya giliran tidak berkesempatan atau mampu untuk melunaskan gilirannya, dia wajib membayar ‘gaji’ pada adik beradik lain yang sanggup mengambil gilirannya.
Siapa saja boleh beri sejuta alasan untuk mengelak.. sibuk kerja la, anak takde orang jagalah, kereta belum servislah, belum gajilah. Ahhh macam-macam alasan.
Tambahnya lagi, ibu bapa adalah tanggungjawab bersama adik beradik bagi menjaga kebajikan mereka dan mereka merupakan ‘ladang pahala’ buat anak-anak selagi mereka masih hidup.
Bila tak buat sistem giliran begini, yang bujang la selalu diambil kesempatan. Kena ambik cuti sedangkan dia juga ada komitmen hutang bulanan. Tidak adil untuk dia.
Malah, tegas Arni sistem giliran ini bukan atas sebab ‘berkira’ dalam perihal urusan menjaga ibu bapa, sebaliknya bagi mengelakkan daripada pergaduhan sesama adik beradik atas sebab ketidakadilan.
Siapa nak pahala lebih silakan buat. Tapi nak ‘lari’ dari tanggungjawab tak boleh! Bila ada sistem giliran begini, tak la keluar ayat “ASYIK AKU JE KENA CUTI BILA ADA HAL MAK AYAH”.
Meninjau di ruangan komen, perkongsian itu telah mendapat pelbagai respon dan menjadi perdebatan orang ramai, ada yang bersetuju dengan sistem giliran ini sememangnya adil dan dapat mengelakkan pergaduhan adik beradik.
Namun, ada juga yang beranggapan sistem giliran ini tidak diperlukan kerana keikhlasan dalam menjaga ibu bapa akan pudar di dalam hati anak-anak apabila terpaksa mengikut giliran sedemikian.