Hanya menanggalkan pelitup muka seketika ketika di tempat awam, pelakon Mustaqim Bahadon telah dikompaun oleh pihak berkuasa sebanyak RM1,000 di atas kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) pada hari Ahad yang lalu.
Menurut Mustaqim, dia yang pada ketika itu berada di kedai gunting rambut miliknya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur hanya keluar seketika untuk menghisap rokok elektronik sementara pekerjanya menyediakan peralatan gunting rambut.
Hanya tak sampai satu minit berada di luar, dia disapa pihak berkuasa dan telah dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka.
Perkara itu dikongsikan sendiri Mustaqim menerusi akaun Instagram miliknya dengan tujuan memberi peringatan kepada masyarakat di luar sana agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.
View this post on Instagram
Meskipun dikenakan tindakan, pelakon drama Cinta Sekali Lagi itu berkata dia menerima dengan hati terbuka dan mengakui kesalahan sendiri yang tidak peka dengan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Dia dalam pada itu turut memberi nasihat kepada semua orang agar sentiasa memakai pelitup muka dan jangan sesekali menanggalkannya jika berada di luar rumah.
“Saya dah terkena jadi orang lain pun kena ambil mesej ini supaya tak jadi macam saya.. jangan fikir bila kita seorang diri, kita dah betul dan tak perlu ikut SOP. Takut nanti melayang RM1,000. Banyak juga tu.. dalam keadaan sekarang ni macam-macam kita boleh buat dengan duit tu. Ambillah ia sebagai pengajaran..” – Mustaqim Bahadon
Sumber : mStar Online