Menjelang penghujung bulan puasa, beberapa hotel terkemuka sekitar Lembah Klang mengakui bufet Ramadan tahun ini kurang mendapat sambutan berbanding tahun lepas.
Pengurus Tempahan Hilton Petaling Jaya, Ayang Daud berkata, ia mungkin disebabkan kenaikan harga bufet Ramadan tahun ini.
“Harga kita naik lagi tahun ini. Tahun ini RM165 untuk satu kepala berbanding tahun lepas RM159,” jawabnya.
Acara bufet sering dinantikan oleh mereka yang gemar “jalan-jalan cari makan” bersempena bulan Ramadan.
Namun tahun ini, penganjuran bufet Ramadan mengundang kritikan daripada agamawan seperti Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin yang berpandangan ia boleh membawa kepada pembaziran dan kelalaian.
Persatuan pengguna seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pula bimbang bufet di hotel mengurangkan berkat berpuasa yang sepatutnya diisi dengan penghayatan ibadah.
Ayang bagaimanapun tidak menerima sebarang maklum balas negatif daripada orang-ramai berhubung penganjuran acara bufet.
Katanya, Hilton Petaling Jaya turut menyediakan pelbagai kemudahan untuk memudahkan pelanggan bufet menunaikan ibadah, seperti ruang solat yang boleh digunakan untuk menunaikan solat biasa dan tarawih.
Ayang berpendapat isu kewangan faktor utama kurangnya sambutan tahun ini.
“Orang sekarang ini memang pandai berjimat, tak macam dulu-dulu sanggup bayar beratus-ratus untuk makan kat hotel,” katanya.
Di ibu kota, Hotel Royal Kuala Lumpur turut akui sambutan bufet Ramadan tahun ini tidak sehebat tahun lepas.
Pengurus Restorannya, Azizi Wahibidin, bagaimanapun tidak mahu membuat sebarang andaian berhubung penurunan sambutan tahun ini, namun yang pasti ia akan disusuli dengan sesi bedah siasat yang akan dijalankan seusai Ramadan.
“Tahun ini (sambutan) kurang sikit berbanding tahun lepas punya sambutan. Tahun lepas, 2,400 tempahan untuk sebulan. Tahun ini sehingga Ahad lalu, 1,700,” katanya.