Pada era globalisasi, telefon bimbit ialah antara suatu keperluan yang dimiliki hampir semua orang. Tambah pula, bila sektor pendidikan juga mula menggunakan bagi tujuan pembelajaran.
Namun, ibu bapa tidak harus membiarkan anak-anak mereka menggunakannya tanpa pemantauan khususnya dari aspek masa dan konten yang dilayari dalam peranti tersebut.
Baru-baru ini, menerusi satu posting di Facebook, seorang doktor berkongsi kisah seorang pesakit perempuan berusia lapan tahun yang sudah pandai berkenalan dengan lelaki menerusi aplikasi permainan video dalam talian.
Dr Anayasmin Azmi meluahkan rasa bimbang dan khuatir tentang kanak-kanak yang berusia lapan tahun, tidak berteman di dalam wad yang sedang sibuk bervideo call dari pagi.
“Call mak ke tu?”.
“Tak”.
“Then call siapa tu?”.
“Saya tak kenal orang tu”.
Sebaik mendengar jawapan tenang daripada kanak-kanak tersebut, doktor itu terkejut namun masih kekal tenang dihadapannya. Pelbagai perkara bermain di fikiran doktor berkenaan.
“Allah.. seram! Saya tak tahulah kalau anda semua tak rasa seram. Budak usia lapan tahun bervideo call dengan orang tak dikenali, yang di baru jumpa semasa main game online“.
“Siap beritahu lokasi, beritahu maklumat peribadi. Siapa di hujung talian tu? Dia mungkin pemangsa? Pedofilia? Remaja yang nak ambil advantage ke atas kanak-kanak? Nauzubillah! Minta dijauhkan”.
Setelah memberitahu dan berbincang perkara berkenaan dengan ibu kanak-kanak itu, jawapan balas dari si ibu amat memeranjatkan beliau.
“Itulah dia doktor, dia tak nak dengar cakap saya”.
Alangkah terkejut doktor apabila mendengarnya. Terpinga-pinga mendengar jawapan itu kerana anaknya berusia lapan tahun bukan 18 tahun.
“Mak ayah perlu bimbing, kena guide mana boleh dan tak boleh. Tak boleh lepas saja! Bahayanya. Siapa pernah baca kes-kes sebelum ni mesti tahu apa kerisauan saya”.
Dalam masa yang sama, warga maya juga turut bersetuju dengan perkongsian doktor berkenaan dan meluahkan rasa bimbang akan trend penggunaan gajet untuk kanak-kanak.
Sehingga kini, posting doktor berkenaan meraih 800 perkongsian.