Selepas gempar dengan kemuculan buaya tembaga di Klebang, hari ini pula gempar apabila seekor buaya tembaga muncul di persisiran Pantai Puteri di Melaka pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, buaya dipercayai spesies tembaga sepanjang kira-kira 4.5 meter itu dilihat kira-kira 500 meter dari pesisir pantai berkenaan. Penduduk dari Pantai Kundor, Roslan Hamid, 35, mendakwa kerap melihat kelibat haiwan itu jika singgah di kawasan pantai untuk berehat.
Dikatakan buaya tembaga itu berhijrah dari Sungai Linggi ke Pulau Gadong sebelum ke Sungai Muar, Johor dan ada masa kembali semula ke Sungai Linggi.
Tinjauan krew Berita Harian ke tempat kejadian mengatakan buaya tersebut masih berada di pantai itu kira-kira jam 11.30 pagi manakala sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu turut memantau lokasi bagi tujuan keselamatan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri, Noorzakiah Hanum Mohd Noh, berkata kawasan itu adalah habitat reptilia berkenaan, namun tidak diwartakan sebagai tempat larangan.
Usaha untuk menangkap reptilia berkenaan agak nipis kerana keluasan laut yang agak luas.
Buaya itu tidak lagi kelihatan kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi dan dikatakan dikesan bergerak ke kawasan penapisan minyak.