Vokalis kumpulan Exist iaitu Mamat telah berkongsi keadaannya yang terkini selepas terpalit isu kesalahan dadah pada tahun 2019.
Menerusi Dol’s Podcast, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin berkata dia kini sudah hampir enam bulan di bawah jagaan pusat pengasih.
Mamat turut berkata dia mula terlibat dengan penyalahgunaan dadah sejak berusia 16 tahun dan tekad mahu berubah selepas mendapat layanan yang begitu baik sepanjang di rumah pengasih.
Sebenarnya, saya mula ambil bahan terlarang ini kalau tak silap adalah daripada umur saya 16 atau 17 tahun, macam itu lah.
Bila saya sampai di pengasih, sambutan dan layanan yang diberikan kepada saya sangat baik.
Jadi, perkara itu membuatkan kita semua ini hormat satu-sama lain dan sentiasa ada sebagai satu ‘keluarga’ dan sebab itu juga saya lagi bersemangat nak berubah dan tak putus asa.
Dalam pada itu, penyanyi itu juga berkongsi aktiviti harian yang dilakukannya sepanjang enam bulan mendapatkan rawatan di rumah pengasih.
Di sana, saya merupakan salah seorang koordinator dan akan menguruskan setiap aktiviti yang akan dilakukan oleh penghuni yang lain.
Antara aktiviti yang kami lakukan ialah solat lima waktu berjemaah dan kelas mengaji al-Quran.
Kalau nak kata soal tempat, banyak yang boleh bantu kita berubah tapi untuk saya yang terbaik sekarang ini ialah pusat pengasih. Buat orang yang nak berubah, pengasihlah tempatnya.
Terdahulu, Mamat dikenakan hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Johor Bahru atas dua pertuduhan mengambil dadah pada 2019. Di Mahkamah Sesyen, Mamat dijatuhi hukuman denda RM4,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.