Semalam, rakyat Malaysia dikhabarkan dengan berita yang amat menyedihkan yang melibatkan pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam sebuah kemalangan hingga mengakibatkan maut.
Difahamkan, insiden yang berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik itu telah meragut nyawa 15 pelajar, manakala 27 lagi tercedera dan pemandu bas berusia 54 tahun itu juga cedera.
Jana foto AI gambaran pelajar UPSI terlibat dalam kemalangan
Dalam pada menitip doa buat keluarga mangsa, ada juga sesetengah individu memuat naik foto gambaran animasi seakan-akan mangsa-mangsa yang terlibat dengan menggunakan janaan teknologi AI.
Dapat dilihat dalam foto yang dimuat naik di platform Threads, kelihatan beberapa individu dipercayai roh mangsa yang meninggal dunia dalam insiden tersebut sedang beratur disebelah bas menuju ke pintu bercahaya.
Mereka pulang ke kampus selepas cuti Aidiladha. Tapi tidak semua sampai.
Bukan itu saja, terdapat juga foto AI memaparkan beberapa orang individu dipercayai pelajar UPSI yang berada di dalam bas sedang melambaikan tangan kepada insan tersayang yang berada di luar bas.
Netizen kesal, mohon hormat keluarga mangsa
Susulan foto-foto AI itu tular, rata-rata netizen meluahkan rasa kesal dan menasihati untuk hormat keluarga mangsa dengan tidak menjana gambar AI nahas itu.
Dalam pada itu, ada juga berpendapat gambar AI itu berkemungkinan disalah tafsir oleh sesetengah pihak yang tidak mengikuti perkembangan insiden berkenaa.