Selepas kejayaan kolaborasi Ade Govinda bersama penyanyi popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri dan Bella Astillah, kini giliran aktres dan penyanyi terkenal, Fazura pula menyanyikan lagu ciptaan komposer ternama dari Indonesia itu.
Lagu berjudul Luar Biasa merupakan hasil perbincangan ringkas selama 10 minit antara Fazura dan Ade menerusi panggilan dalam talian, namun cukup untuk menghasilkan karya yang memberi kesan mendalam.
Saya beritahu Ade lagu bagaimana yang saya mahukan. Alhamdulillah saya suka dengan hasilnya.
Menurut bintang filem Pisau Cukur itu, lirik lagu Luar Biasa sangat menyentuh hati dan tepat dengan mesej yang ingin disampaikannya kepada para pendengar ketika ini.
Malah, Fazura turut mendedikasikan lagu tersebut buat individu yang pernah melalui fasa sukar dalam hidup namun mampu bangkit semula dengan semangat yang lebih kuat.
Mengulas lanjut mengenai pemilihan tema, Fazura berkata dia memilih untuk tidak menghasilkan lagu-lagu bertemakan cinta yang menyedihkan atau ‘galau’.
Bukan bermaksud tak boleh dengar lagu-lagu ‘galau’, tetapi sebagai wanita yang kuat, kalau hari-hari dengar lagu sebegitu, lama-lama kita akan jadi lebih down.
Seolah-olah kita sengaja mencari kesedihan itu.
Namun begitu, ibu kepada seorang cahaya mata ini mengakui pernah merancang untuk menghasilkan lagu patah hati, tetapi akhirnya menolak niat tersebut.
Ada perancangan untuk buat lagu patah hati tetapi takut bila lama-lama dengar akan jadi lagi patah hati. Anda akan meratap patah hati itu. Buat apa nak meratap. Tak payahlah.
Luar Biasa menampilkan sisi Fazura yang lebih matang dan berinspirasi, selari dengan perjalanan hidup dan keteguhan dirinya sebagai seorang wanita dan ibu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.