Penceramah bebas, PU Azman ataupun lebih dikenali sebagai Cik Man dalam kalangan peminat baru-baru ini telah mengumumkan bahawa dia kini sudah mempunyai akaun TikTok.
Meskipun begitu, lain pula pandangan netizen apabila sesetengah mereka berpendapat bahawa aplikasi tersebut bukanlah sebuah platform yang baik walaupun niat PU Azman hanya sekadar menyebarkan dakwah kepada peminat.
Tambah mereka, TikTok lebih sinonim kepada anak muda yang ingin berhibur dan dipenuhi dengan video-video tidak elok untuk dilihat seperti gambar perempuan yang tidak menutup aurat dan pelbagai lagi. Netizen turut menyarankan supaya penceramah itu membuka saluran Youtube berbanding TikTok.
Namun begitu, PU Azman tidak melatah dengan teguran tersebut malah tampil memberi penjelasan mengenai keputusannya untuk membuka akaun tersebut. Tidak menafikan pelbagai perkara negatif ditayangkan di platform tersebut, namun sebagai pengguna yang bijak, mereka haruslah memperbetulkan niat masing-masing.
“Ada orang cakap TikTok tempat tengok dedah aurat. Memang tak dinafikan. Dedah aurat ni tak payah tunggu TikTok. Dalam semua media sosial pun ada. Kau yang tentukan niat kau pergi sana. Dah kau mencari, memanglah dapat. Kau Asyik terperangkap dengan persepsi, tapi kau sendiri tak ubah,”
Terbaru, PU Azman dilihat meluahkan pandangannya menerusi video TikTok pertama di entri terbaru ruangan Instagramnnya. Meninjau ruangan komen, netizen rata-rata bersetuju dengan pendapat Cik Man mengenai niat seseorang apabila ingin melakukan sesuatu dalam kehidupan seharian.