Meskipun jarang diperkatakan anak seni berkenaan kemelut politik yang melanda negara dengan alasan ia merupakan luar daripada bidang kuasa mereka, namun nama pelakon Bront Palarae sering menjadi perhatian apabila acap kali berani menulis kritikan sosial terhadap sistem politik negara.
Hal ini kerana, masalah politik negara yang berlaku juga bukan sahaja dirasai oleh golongan marhein, malah turut memberi impak kepada golongan karyawan khususnya artis dan selebriti tempatan.
Terbaharu, pelakon filem Ombak Rindu ini seakan menyeru golongan elit dan berjawatan menghentikan drama politik kerana rakyat dikhabarkan telah muak dengan situasi yang dipamerkan oleh puak mereka.
Sindiran itu dikongsi Bront di laman Twitternya. Lebih mengejutkan, muat naik itu secara drastic mendapat persetujuan warganet terhadap kata-kata yang dilempar Bront buat golongan berkenaan.
“Kalian punya jongkang jongkit, kami yang tersepit. Kalian berkorban, tapi hakikatnya kami yang terkorban.”
Tambah Bront, cerita yang kononnya golongan ini mahu menolong rakyat hanyalah dusta belaka kerana di penghujung jalan, rakyat juga yang seolah menanggung derita.
Perkara itu disuarakan Bront menerusi artikel yang dipaparkan oleh portal The Edge yang menunjukkan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia terhadap jumah penganggur yang meningkat hampir 50 peratus pada April 2020.
Dek kerana terlalu sibuk mengejar kuasa, pelakon ini juga turut mendakwa bahawa ahli politik yang menyatakan mereka banyak berkorban sebenarnya telah mengorbankan rakyat sendiri.
Bagaimanapun, Bront juga turut memberi cadangan kepada bakal pengundi supaya membuat pilihan ke atas calon yang bukannya parti politik. Hal ini kerana, ia secara tidak angsung mampu mengubah trend politik, sekali gus memberikan pengajaran kepada golongan yang rakus dalam mengejar kuasa.
“Dah sampai masa kita ubah dai pangkah ikut lambing ke pangkah ikut orang yang nak berkhidmat di kawasan kita.”
Di penghujung tweetnya juga, Bront turut menegaskan bahawa rakyat bukanlah boneka yang senang dipermainkan dan dianggap mudah untuk diperdaya.
Sumber: Cari Forum