Personaliti Alif Satar meluahkan rasa kesal apabila beberapa komponen motosikal miliknya telah dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab.
Menurut Alif, antara komponen yang hilang pada motosikal berjenama BMW model 1000 RR adalah sistem brek yang bernilai tinggi. Alif menjelaskan bahawa kenderaan miliknya itu diparkir di kawasan kondominiumnya seperti biasa dilakukan sebelum ini.
Dalam pada itu, hos dan penyanyi ini turut memberi pesanan kepada individu yang telah melakukan perbuatan itu.
“Salam Jumaat! Nak pesan, curi barang orang berdosa..jangan main-main dengan doa orang yang teraniaya. Parking dekat kondominium sendiri, motor ada tapi brek tak ada. (Pencuri) potong brek harness dan brake calipers,”
Dia turut memuat naik beberapa keping foto memaparkan keadaan motosikalnya itu setelah dirosakkan oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, Alif sempat berpesan supaya pelaku berkenaan segera bertaubat dan tidak lagi mengulangi perbuatannya itu.
Namun, meskipun dilanda musibah seperti itu, Alif hanya berfikiran positif dan redha terhadap apa yang terjadi dan beranggapan akan ada lebih baik yang menanti di masa hadapan.