Baru-baru ini, sebuah bot pelancong berlabuh milik orang awam telah dirempuh oleh bot laju Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang hilang kawalan ketika menjalani latihan demonstrasi sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25), di perairan Resort World Langkawi.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata kemalangan itu membabitkan sebuah bot pasukan keselamatan yang sedang melakukan latihan rasmi dan sebuah bot pelancong milik orang awam yang ketika itu sedang berlabuh berhampiran pantai.
Bot pasukan keselamatan itu dinaiki lima pegawai dan anggota. Akibat pelanggaran itu, dua anggota pasukan keselamatan mengalami kecederaan dan dirujuk ke Hospital Sultanah Maliha untuk rawatan lanjut.
Walau bagaimanapun, beliau mengesahkan tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan membabitkan orang awam dalam insiden berkenaan.
Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi berhubung punca sebenar insiden dan sama ada ia membabitkan sebarang kecuaian atau kegagalan teknikal.