Berita baik buat kaki travel, kerajaan China umum rakyat Malaysia kini boleh masuk ke negara tersebut tanpa visa hingga 90 hari.
Difahamkan dari laporan Sinar Harian, kedutaan China di Malaysia mengatakan perjanjian tersebut berkuat kuasa selama lima tahun dan akan dilanjutkan secara automatik untuk tempoh lima tahun berikutnya.
Lepas ni boleh pergi Shanghai, Hangzhou, Beijing tanpa fikir visa!
Dalam pada itu, kedutaan turut menjelaskan bahawa tempoh 90 hari itu tidak termasuk hari yang diluangkan di China menggunakan visa, permit kediaman, dokumen visa lain atau Kad Perjalanan Perniagaan APEC.
Kami yakin perjanjian ini akan menggalakkan lagi pertukaran antara rakyat, memperkukuh persefahaman bersama dan memperdalam kerjasama pelbagai sektor antara kedua-dua negara dan rakyat apabila ia mula berkuat kuasa.
Untuk tarik lebih ramai pelancong asing
Inisiatif yang dilakukan ini sebagai usaha China untuk menarik lebih ramai pelancong asing, merancakkan ekonomi pelancongan dan perdagangan.
Sebelum ni pun ramai rakyat Malaysia berurusan perniagaan, beli stok barang & melancong ke bandar ikonik seperti Beijing, Guangzhou, dan Chengdu.
Perjanjian mengecualikan visa antara China dan Malaysia ini dikatakan berlaku sewaktu lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada bulan lalu.