Trend suntingan foto berasaskan kecerdasan buatan (AI) mencetuskan kontroversi apabila tular di TikTok gambar seorang wanita Melayu seolah-olah berpelukan dengan artis K-Pop terkenal, Mingyu.
Lapor Majoriti, walaupun dianggap sekadar hiburan, tindakan itu dikritik kerana berpotensi menimbulkan fitnah, khususnya melibatkan wanita Islam. Seorang pengguna Threads, Nizam_mustapha, menegur perbuatan tersebut dan menyifatkannya boleh mengelirukan orang ramai.
Tulisnya,
Aku nampak ada perempuan Melayu buat konten dengan artis Korea, Mingyu. Tak rasa keterlaluan ke? Sebab apa-apa yang mendatangkan fitnah itu haram, apatah lagi untuk seorang perempuan Islam.
Menurutnya lagi, teguran itu bukan bertujuan mengecam, sebaliknya sebagai peringatan kerana ada yang mungkin percaya gambar berkenaan benar-benar berlaku.
Luahannya turut disokong pengguna lain yang menganggap konten itu melampaui batas, mencemar maruah agama, dan wajar dielakkan. Malah ada yang mengingatkan generasi muda supaya lebih berwaspada dalam mengejar trend media sosial kerana penyalahgunaan teknologi AI boleh membawa implikasi serius, termasuk fitnah, penyebaran maklumat palsu serta eksploitasi imej tanpa kebenaran.