Sikap sambil lewa pemilik haiwan kesayangan seperti kucing dan anjing yang membiarkan ‘si bulu’ mereka membuang najis merata-rata tempat antara salah satu punca yang mendatangkan permusuhan dalam kalangan jiran tetangga.
Penceramah selebriti terkenal, Ustaz Azhar Idrus menerusi sebuah kuliah yang disampaikan menerusi Facebook rasminya memaklumkan bahawa jika ada haiwan peliharaan milik jiran yang selalu membuang najis di kawasan kediaman, kita boleh membuang binatang itu di tempat yang sepatutunya.
Namun begitu, jelas Ustaz Azhar lagi, aduan mengenai perkara itu haruslah dimaklumkan kepada pemilik haiwan tersebut dan mereka sepatutnya tampil membersihkan kotoran serta membayar ganti rugi jika ada.
Bukan salah kucing tapi tuannya, jadi dalam kes begini, orang yang beriman tidak akan susahkan orang lain sama ada dengan mulut atau perbuatan.
Melepaskan haiwan, membusukkan rumah orang lain, ini orang yang tak sejahtera Islamnnya.
Katanya, jika pemilik haiwan tersebut bersikap sambil lewa dan tidak mengendahkan aduan yang diterima mereka, maka hukumnya harus untuk mangsa membuang haiwan peliharaan itu ke tempat lain asalkan ianya masih boleh hidup.
“Kalau tuan kucing buat tak tahu dan rumah kita masih jadi sasaran najis-najis tersebut, hukumnya harus untuk kita buang benda yang mudarat.Kita boleh ambil haiwan itu dan letak di tempat yang jauh tapi dia boleh hidup.” ujar Ustaz Azhar Idrus.