Memancing sememangnya menjadi hobi kegemaran ramai, khususnya dalam kalangan lelaki. Bagi mereka, aktiviti ini bukan sekadar menghilangkan tekanan, malah memberi ketenangan sambil menikmati keindahan alam dari sungai, tasik hingga ke laut luas.
Namun bagi sekumpulan pemancing ini, sesi santai sambil menikmati makan tengah hari bertukar cemas apabila bot yang mereka naiki hanyut memasuki perairan Singapura tanpa disedari.
Kejadian tersebut dikongsikan oleh pengguna TikTok @fizreeajie, yang menyedari bot mereka bergerak jauh dari lokasi asal akibat angin kuat dan arus deras.
“Tengah sedap makan tengah hari atas bot, tak perasan bot dah hanyut masuk Singapura. Musim angin kuat ni tak sedar bot bergerak macam ketam,” katanya.
Mereka hanya menyedari situasi sebenar selepas sebuah bot Polis Marin Singapura menghampiri dan memaklumkan bahawa kumpulan itu telah melepasi sempadan.
Video berdurasi 2 minit 1 saat itu menunjukkan polis marin negara jiran tersebut bercakap dalam nada lembut dan penuh profesional, sebelum meminta kad pengenalan untuk semakan rutin.

Salah seorang anggota polis turut menjelaskan bahawa insiden bot pemancing Malaysia memasuki perairan Singapura adalah perkara biasa yang berlaku hampir setiap hari.
Kita kalau termasuk, kita tak ada masalah. Sebab ada sesetengah bot dorang lari apa semua. Tak ada apa-apa pun, kita nak ‘check’ sahaja.
Macam korang termasuk dalam kita punya air (sempadan), jadi kita akan ‘check’ dan nasihat abang untuk keluar. Macam tu sahaja.
Teguran yang tenang dan penuh adab daripada pihak berkuasa Singapura itu mencuri perhatian ramai pengguna media sosial malah ramai terkejut melihat cara layanan mereka yang sopan dan tidak menengking, sekali gus menyejukkan suasana cemas yang dialami pemancing tersebut.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
