Ketika kontroversi putus cinta Emma Maembong dan Kamal Adli sedang hangat diperkatakan, timbul pula khabar angin Emma sedang intim dengan seorang usahawan dikenali sebagai Datuk Salim Rahman dan mereka dikatakan bakal bernikah. Emma menerusi portal Harian Metro menafikan gosip tersebut dan memberitahu ia sekadar gurauan keluarganya yang meminta Salim untuk masuk meminang.
Salim adalah kenalan abang ipar saya dan saya serta keluarga agak rapat dengannya. Apabila abang ipar dan kakak keluar bertemu rakan mereka, kadang-kadang saya ada bersama. Jadi secara tidak langsung kami menjadi kawan. Saya tahu abang ipar sering bergurau dengan Salim dengan memintanya untuk meminang saya. Percayalah tiada apa yang serius mengenai perkara itu.
Perkara itu turut diketahui Kamal kerana tiada rahsia antara kami berdua. Semua perkara berlaku membabitkan hal peribadi sepanjang bersama Kamal, semuanya saya kongsikan dengannya.
Dalam pada itu, Emma turut menepis dakwaan beliau adalah punca perceraian Salim dengan bekas isterinya tiga minggu lalu. Emma menegaskan ketika beliau mengenali Salim, beliau mengetahui usahawan itu sudah bercerai sekitar setahun lalu dan terkejut bagaimana dirinya boleh dikatakan sebagai orang ketiga penghancur rumah tangga Salim.