Pelakon dan pengacara, Zulin Aziz memilih untuk tidak berkongsi secara terbuka punca perpisahannya dengan bekas suami, Farhan Norzaini yang berlaku pada 18 Disember tahun lalu.
Menurut Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz, perceraian mereka diselesaikan secara baik tanpa sebarang perselisihan.
“Saya bercerai secara baik dengan bekas suami. Hubungan kami dan keluarga pun masih baik. Alhamdulillah, doakan yang baik-baik.”
“Kami tidak mahu berkongsi apa-apa (punca penceraian). Lagipun kita di bulan Ramadan sekarang ini. Saya nak menjaga silaturahim kami dan tidak mahu membuka aib sesiapa.”
“Saya menghormati pihak sana (bekas suami) dan keluarga sendiri. Kami dah berbincang baik-baik untuk mengunci mulut,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Zulin mengakui kini sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu selepas berpisah.
“Saya kini dalam fasa pemulihan. Perlahan-lahan, saya cuba buat macam biasa. Bergelak ketawa untuk menutup rasa sedih. Saya tidak suka terlalu emosi.”
“Kerja saya pula kena melawak. Biarlah kalau saya menangis di rumah saja. Biar orang nampak yang indah-indah saja cukuplah,” ujarnya.
Tambah Zulin, perceraian dalam kalangan artis sering menerima pelbagai persepsi negatif daripada segelintir pihak yang mudah membuat andaian.
“Orang cakap senang, kenapa bercerai? Mudah saja orang label artis ini bercerai macam beli baju tapi mereka (netizen) tidak duduk dekat kaki kita.”
“Saya selesa dengan apa yang saya buat ini (kunci mulut) selepas melihat pengalaman orang lain yang bercerita tentang kisah perceraian mereka. Saya ambil ini sebagai iktibar,” katanya.
Menurutnya lagi, dia kini telah selesai menjalani tempoh idah dan baru bersedia berkongsi perkara tersebut kepada umum.
Untuk rekod, Zulin dan Farhan mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2022 selepas beberapa tahun berkenalan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

