Biarpun sudah mempunyai cahaya mata bersama suami tercinta, Ude Wahid, pelakon Izreen Azminda sehingga hari ini masih lagi menerima kecaman gara-gara kontroversi terdahulu, dia masih terus dilabel sebagai sebagai perampas dan macam-macam lagi.
Tidak mahu netizen terus berbalah, Izreen tetap dengan keputusannya untuk tidak membuka ruangan komen di Instagram.
Bukan saya takut dicemuh, cuma saya tidak suka melihat pengikut berbalah sesama mereka di laman sosial. Jika saya membuka ruangan komen itu, saya diibaratkan seperti menjadi pencetus pergaduhan. Saya tidak perlukan pendapat orang luar dalam kehidupan. Cukup suami dan keluarga ada di sisi ketika saya memerlukan mereka.
Apabila ramai yang memberikan pendapat, ia bukan menjadi lebih baik, sebaliknya menyemarakkan lagi api yang sedang membahang. Tidak perlu buat spekulasi mengenai kehidupan orang lain.
Izreen tidak menafikan segala kontroversi yang melanda hidupnya sejak dua tahun lalu adalah satu dugaan berat dihadapinya dan suami. Namun, kini dia enggan lagi tertekan dengan persepsi orang terhadap dirinya, biarlah jika mereka ingin terus menghukum.
Banyak perkara yang saya belajar selepas berdepan ujian dalam hidup. Dahulu, saya panas baran dan tidak boleh membiarkan orang lain memperlekeh diri. Tetapi kini, saya menjadi lebih sabar. Saya biarkan sahaja orang luar menghukum dan tidak lagi mempertahankan diri. Ujian itu juga sebenarnya membuka mata saya mengenai harga kejujuran dan persahabatan.
Izreen berkata meskipun hatinya pernah terguris dengan segala kata-kata cacian yang dilemparkan, dia bagaimanapun redha melaluinya. Malah, ada juga netizen tampil memohon maaf kepadanya.