Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja telah mencapai kata sepakat untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta yang akan bermula pada malam Isnin ini, memetik BERNAMA.
Persefahaman ini dimeterai hasil pertemuan antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana.
Kedua-dua Kemboja dan Thailand telah mencapai persefahaman bersama seperti gencatan senjata segera dan tanpa syarat, berkuat kuasa selama 24 jam mulai 28 Julai 2025 mengikut waktu tempatan.
Ini merupakan langkah pertama yang penting ke arah pengurangan ketegangan serta pemulihan keamanan dan keselamatan.
Tambah beliau lagi, satu pertemuan tidak rasmi turut akan diadakan melibatkan pihak tentera dari kedua-dua negara.
Kedua, satu mesyuarat tidak rasmi akan diadakan melibatkan komander serantau termasuk Wilayah Ketenteraan 1 dan 2 dari pihak Thailand serta Wilayah Ketenteraan 4 dan 5 dari pihak Kemboja pada jam 7 pagi, 29 Julai 2025.
Mesyuarat ini akan disusuli dengan pertemuan bersama Atase Pertahanan yang diketuai oleh Pengerusi ASEAN, sekiranya dipersetujui kedua-dua pihak.
Kenyataan itu dibuat semasa sidang media bersama selepas Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja yang berlangsung pada Isnin.
Turut hadir dalam pertemuan penting tersebut ialah Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing. Amerika Syarikat bertindak selaku penganjur, manakala China hadir sebagai pemerhati rasmi.
Sebelum ini, media melaporkan pengesahan kerajaan Thailand untuk menyertai rundingan damai di Malaysia berhubung konflik sempadan yang semakin memuncak dengan Kemboja.
Thailand dalam kenyataan pada Ahad menyatakan bahawa kehadiran mereka dalam rundingan adalah bertujuan untuk membuka jalan penyelesaian melalui maklumat yang dikongsi serta membantu meredakan konflik.
Ketegangan sempadan antara kedua-dua negara memuncak pada 25 Julai lalu dan menyebabkan pertempuran bersenjata di kawasan utara Kemboja.
Menurut laporan media, pertempuran tersebut mengakibatkan lebih 20 anggota keselamatan Thailand maut, manakala lima tentera Kemboja dan lapan orang awam turut terkorban. Ribuan penduduk di kedua-dua sisi sempadan turut dipindahkan demi keselamatan.
Datuk Seri Anwar turut memaklumkan bahawa satu Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) akan diadakan pada 4 Ogos 2025 dan bakal dihoskan oleh Kemboja.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.