Kerana keletihan membantu mangsa, seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terjatuh ke dalam air banjir ketika sedang menolak bot dalam arus deras.
Difahamkan, ketika kejadian yang berlaku pada 27 November lalu, anggota itu bersama pasukannya sedang menolak sebuah bot yang dinaiki mangsa banjir untuk dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kelantan.
Menurut Pegawai Operasi APM negeri, Kapten (PA) Md Fadir Md Nor bot tersebut ditolak kerana paras air di lokasi tersebut cetek dan tidak membolehkan enjinnya dipasang.
Semasa membantu mangsa untuk ke PPS, anggota itu terjatuh kerana keletihan. Dia dibantu rakan sepasukan untuk dibawa ke lori yang menunggu di hadapan.
Tambahnya, anggota itu dan pasukannya memulakan tugasan membantu mangsa banjir di Pasir Puteh pada 26 November dan sejak itu mereka bertugas tidak kira siang dan malam untuk memastikan semua mangsa selamat sampai ke PPS.
Paras air yang meningkat mendadak menyebabkan jumlah mangsa yang perlu dibantu terlalu ramai.
Anggota tersebut kemudian diarahkan berehat dan kini sudah kembali pulih dan boleh kembali bertugas dalam misi menyelamatkan mangsa banjir.