Baru-baru ini, tiga orang anggota polis telah mencuri perhatian ramai selepas tular video yang memaparkan tindakan mereka yang dianggap tidak mementingkan diri.
Anggota polis tersebut dilihat meredah jalan yang banjir akibat longkang tersumbat tanpa kasut dan bertindak membersihkan longkang itu bagi memastikan kelancaran aliran trafik.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di daerah Johor Bahru ketika para anggota berkenaan sedang bertugas di bawah Unit Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.
Ketiga-tiga anggota polis iaitu Lans Koperal Ivon Walter , Lans Koperal Celestin Leonard dan Konstabel Muhamad Nur Iskandar telah bertindak pantas bagi mengurangkan kesulitan yang dialami pengguna jalan raya serta mengelakkan berlakunya kemalangan.
Menerusi video yang dimuat naik di Facebook oleh Ibu Pejabat Daerah Johor Bahru Selatan, ketiga-tiga anggota polis itu dilihat menyinsingkan seluar dan membersihkan longkang tersumbat yang menjadi punca aliran air tersekat menggunakan tangan.
Air banjir tersebut telah menyebabkan gangguan lalu lintas yang ketara di kawasan berkenaan, namun tindakan pantas dan bijak ketiga-tiga anggota polis itu berjaya mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk.
Menjengah ke ruangan komen rata-rata orang ramai memuji komitmen mereka terhadap khidmat awam, sambil menyatakan bahawa tindakan mereka mencerminkan dedikasi pasukan polis dalam berkhidmat dan melindungi masyarakat, walaupun dalam situasi yang tidak dijangka.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.