Kaedah “water birth” atau bersalin dalam air sudah lama menjadi komersial di negara barat, namun di Malaysia ramai yang masih “was was” melakukannya.
Proses melahirkan bayi di dalam air bermula pada 1960-an apabila penyelidik Rusia, Igor Charkovsky melakukan kajian tentang kebaikan melahirkan anak di dalam air.
Di Malaysia, Hospital Pantai di Kuala Lumpur dan Gleneagles di Pulau Pinang merupakan dua hospital menyediakan perkhidmatan bersalin dalam air.
Memetik laporan FMT, perkhidmatan yang dimulakan pada 2008 itu akhirnya terpaksa dihentikan baru-baru ini selepas arahan Kementerian Kesihatan, yang mahu hospital memenuhi beberapa syarat terlebih dahulu berdasarkan garis panduannya.
Bakal ibu yang berminat untuk bersalin dalam air perlu melalui beberapa fasa sebelum memulakan proses melahirkan anak. Mereka diletakkan di dalam kolam dengan suhu bilik 37-38 celcius, tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas.
Tahap kesihatan bakal ibu itu harus sihat dan bebas daripada penyakit tekanan darah tinggi atau kencing manis. Mereka juga boleh memilih posisi dalam kolam bagi mengekalkan keselesaan ketika proses meneran.
Posisi bertinggung atau melutut, terpulang kepada pilihan bakal ibu itu. Suami juga digalakkan berada di sisi isteri bagi memberi sokongan kepada si isteri.
Ramai beranggapan, bersalin dalam air boleh melemaskan bayi. Namun, harus diingat, bayi baru lahir tidak akan bernafas selama beberapa saat selepas dilahirkan. Doktor atau bidan akan segera mengangkat bayi dari permukaan air.
Pada masa sama, ada di antara bakal ibu yang berasa “geli” dengan keadaan darah yang memenuhi air. Sebenarnya, darah akan hanya keluar selepas uri dikeluarkan.
Kelahiran di dalam air mungkin menjadi salah satu alternatif tambahan bagi ibu yang tidak mahu menggunakan sebarang intervensi.
Anggaran kos bersalin bermula dari RM4,000 sehingga RM20,000, bersesuaian dengan perkhidmatan serta keselesaan disediakan pihak hospital.