Seorang pengusaha gerai makanan, Ricky Ricarvy Irawan, pernah jatuh satu ketika dulu di mana pada tahun 1998 beliau terpaksa menutup kedainya kerana tidak mampu menahan kerugian lagi.
Beliau dahulunya mempunyai 18 buah gerai burger sambil menjual kad tambah nilai, kerepek pisang salai dan pelbagai lagi.
Menurutnya ketika itu dia meminjam wang di bank dengan nilai yang begitu besar namun akhirnya tidak terdaya untuk membayar.
Dari titik itulah beliau telah memutuskan untuk berhijrah dan beristiqamah ke jalan Allah di mana beliau pergi menuntut ilmu agama.
Mengaku masa lalunya begitu nakal dan sekolah SMA pun tidak lulus, itu tidak mematahkan semangatnya untuk bangun semula dan berjaya.
Ricky akhirnya telah membuat keputusan untuk bergabung dengan komuniti Pemuda Hijrah dan mengabdikan diri di Masjid Al-Lathief Jalan Suren, Kota Bandung.
“Saya lagi merasa ditenggelamkan oleh Allah. Sudah terlalu banyak dosa. Saya mengabdikan diri di Masjid,” ungkapnya dipetik laporan Detik.com.
Beliau kini telah membuka gerai makanan bergerak di Jalan Ciujung, Bandung, Indonesia dengan menyediakan 15 menu makanan berlainan di mana gerainya itu menerapkan konsep Islamik.
Apa yang menariknya, kepada mana-mana pelanggan yang membaca dua juzuk Al-Quran, mereka boleh menikmati makanan di gerainya secara percuma. Menarik!
Menurut Ricky, kebiasaannya pengunjung yang membaca dua juzuk Quran tersebut boleh menghabiskannya dalam masa sejam.
Namun, ada juga mereka yang datang mengaji tetapi tetap membayar hidangan yang telah dimakan oleh mereka.
Beliau berharap agar warungnya itu boleh diperbesarkan lagi bagi menampung lebih ramai pelanggan yang ingin datang mengaji di samping menjadi salah satu jalan dakwah lebih-lebih lagi gerainya itu berada di laluan orang berniaga yang padat dengan orang ramai.