Berlengah Membeli Rumah Beri Risiko Besar Kepada Golongan Muda ?

Trending

Berlengah Membeli Rumah Beri Risiko Besar Kepada Golongan Muda ?

Gelagat kebanyakan golongan muda yang hidup bermewah dan melengahkan pembelian rumah berisiko ‘memakan diri’ apabila berdepan bebanan bayaran bulanan besar untuk pinjaman perumahan, premium insurans tinggi dan harga rumah yang terus meningkat pada masa depan.

Menurut kenyataan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Yusof Abdul Rahman, berkata dengan gaji sekitar RM6,000 sepatutnya cukup untuk memiliki rumah sendiri di bandar besar sekiranya merancang kewangan dan meletakkan keutamaan masing-masing dengan betul.

Advertisement

Katanya, rata-rata rakyat beli rumah sewaktu muda kerana boleh memanjangkan tempoh pinjaman 20 hingga 30 tahun selain merendahkan komitmen bulanan supaya pertumbuhan gaji bergerak seiring dengan tanggungan kelak.

“Ramai orang muda suka tunggu untuk pendapatan naik baru beli rumah, namun jika dikira pada usia 45 tahun mereka hanya ada 15 tahun sebelum bersara menyebabkan kos yang perlu ditanggung membeli rumah dan bayaran bulanan menjadi lebih tinggi.”

“Ketika itu mereka berisiko mendapat pinjaman, diburukkan lagi premium tinggi untuk usia tua maka dikhuatiri pertumbuhan gaji mereka juga tak dapat menyaingi tanggungan isi rumah pada waktu itu.”

“Pengguna yang membeli rumah pada usia 25 tahun pula akan mendapati mereka memiliki lebihan pendapatan yang tinggi untuk keperluan perbelanjaan harian apabila pendapatan meningkat kelak,” katanya.

Ulasnya lagi, generasi muda ketika ini dilihat gagal memiliki kediaman sendiri kerana belanja bulanan yang tinggi, termasuk mengamalkan gaya hidup mewah, pembelian barang berjenama dan hiburan.

Ia antara penemuan Kajian Gelagat Pembeli Hartanah Kediaman di sekitar Lembah Klang dari 2014 hingga 2017 yang dilaksanakan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Mengulas lanjut, FOMCA akui kebanyakan harga rumah di Kuala Lumpur sudah terlalu tinggi sehingga ada antaranya mencecah jutaan ringgit dan tidak mampu dimiliki pengguna bergaji sekitar RM7,000.

Bagaimanapun, ia seharusnya tidak menghalang golongan muda dengan pendapatan isi rumah sederhana membeli dan memiliki kediaman di lokasi lain yang berpotensi tinggi mengikut kemampuan.

“Jangan bertangguh, kerana dasar kerajaan ketika ini juga banyak memberi tumpuan inisiatif pemilikan rumah kepada golongan muda, maka pengguna yang berlengah sehingga berusia antara 30 hingga 40 tahun mungkin akan terlepas peluang.”

“Bahkan, bank juga akan melihat tanggung bakal pembeli sebelum meluluskan pinjaman perumahan bagi memastikan baki pendapatan pembeli masih memiliki sekitar 60 peratus untuk kegunaan komitmen lain,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hartabumi.com, Radzi Tajuddin, berkata semakin ramai golongan muda kini lebih suka menyewa kawasan elit di ibu kota dengan sewa yang tinggi berbanding membeli kediaman di lokasi yang lebih mampu milik mengikut pendapatan mereka.

Katanya, ia susulan perubahan set pemikiran dalam kalangan profesional muda yang lebih selesa menyewa di kawasan elit dan hampir dengan tempat kerja.

“Contohnya berhampiran dengan KLCC pilihan golongan muda kerana beranggapan memiliki lebih fleksibiliti, menjimatkan perbelanjaan bulanan, selain sesuai dengan gaya hidup mereka.”

“Mereka rela sewa kondominium mewah satu bilik di sekitar KLCC pada kadar RM2,500 sebulan berbanding bayaran pinjaman perumahan RM5,000 sebulan jika mereka membeli hartanah terbabit.”

“Bagi mereka ini memberikan penjimatan 50 peratus kepada perbelanjaan bulanan, tetapi tidak fikir untuk jangka panjang. Maka tidak hairan jika ada golongan M40 yang masih tidak memiliki kediaman sendiri kerana lebih gemar menyewa sesuai dengan gaya hidup mereka,” katanya.

Radzi yang juga penganalisis hartanah, berkata pemilikan hartanah bagi sesetengah golongan M40 dengan pendapatan sekitar RM7,500 sebulan juga terjejas kerana gagal menguruskan kewangan mereka dengan betul.

Ia diburukkan lagi dengan corak perbelanjaan isi rumah dalam kategori itu berdepan kos sara hidup yang meningkat dan mengurangkan pendapatan boleh guna isu rumah sehingga mereka gagal mendapatkan pembiayaan perumahan susulan ‘debt-service-ratio’ (nisbah pembayaran hutang) yang tinggi.

Sumber : BH

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...