Berlaku Salah Laku Pengurusan, Tiada Lagi Bazar Perayaan Di Jalan TAR

Trending

Berlaku Salah Laku Pengurusan, Tiada Lagi Bazar Perayaan Di Jalan TAR

Setiap kali musim perayaan tiba, jalan TAR pasti akan menjadi tumpuan warga kota untuk membeli kelengkapan sambutan aidilfitri.

Malangnya, selepas ini kemeriahan seperti itu tidak akan lagi dapat kita saksikan berikutan kebenaran membuka tapak bazar untuk berniaga telah ditarik balik.

Advertisement

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz mengesahkan bahawa tidak akan ada lagi Bazar Perayaan di Masjid India dan lorong Jalan Tunku Abdul Rahman selepas ini.

Keputusan itu dibuat setelah mendapati berlaku salah laku dalam pengurusan dan dipercayai ada individu yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan kepada peniaga-peniaga tersebut.

“Kami tidak akan membenarkan lagi bazar Ramadan atau Deepavali di Jalan Masjid India, Lorong Tuanku Abdul Rahman dan kawasan sekitarnya.”

“Terdapat banyak aduan dan ia amat sukar diurus.”

“Sebelum ini, tapak bazar telah diberikan kepada persatuan pedagang tetapi terdapat aduan salah urus dan banyak yang disewa untuk mendapatkan keuntungan besar berbanding untuk peniaga miskin,” katanya.

Mohd Amin juga berkata, isu-isu yang berbangkit mengenai bazar perayaan tersebut sangat sukar diurus dan tidak pernah cuba untuk diselesaikan setelah sekian lama.

Bazar Ramadhan yang mula diwujudkan pada 2003 dengan kira-kira 100 gerai beroperasi buat kali terakhir tahun ini selepas pendedahan mengenai wujud amalan orang tengah untuk mendapatkan kelulusan tapak bazar atau gerai meskipun pelbagai usaha dilakukan DBKL untuk menghentikannya.

“Kira-kira lima tahun lalu, kami memutuskan bahawa peniaga mesti memohon terus dengan DBKL dan tapak bazar diagihkan dengan proses undi.”

“Namun tanpa persatuan mengawasi bazar, pengurusan gerai tidak mementingkan aspek kebersihan,” kata Amin Nordin.

Beliau berkata sepanjang tempoh bazar dibuka, seluruh kawasan amat kotor dengan sampah sarap dibuang di merata-rata dan gerai ‘haram’ turut beroperasi.

“Berlaku satu insiden di mana salah seorang daripada pegawai penguatkuasaan kami disimbah dengan minyak panas semasa melakukan rondaan.”

“Pemilih perniagaan juga mengadu hilang pendapatan disebabkan gerai yang menghalang orang masuk ke kedai mereka.”

“Lagipun barangan yang dijual di gerai boleh dibeli dari kedai berdekatan. Jadi tidak perlu ke bazar,” katanya.

Ketika ditanya mengenai nasib pasar malam setiap Sabtu di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Amin Nordin berkata ia masih dikekalkan.

Sumber: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...