Pelakon Malaysia yang kini menapak di Indonesia, Hazman Al Idrus, menegaskan bahawa prinsip keimanan dan pegangan agamanya tidak pernah goyah meskipun tular video yang memaparkannya menjalani ritual Hindu baru-baru ini.
Hazman menjelaskan bahawa video tersebut sebenarnya dirakam ketika penggambaran filem di Bali bersama produksi dari Denmark.
“Video itu sebenarnya dirakam ketika saya menjalani penggambaran di Bali di bawah sebuah syarikat produksi dari Denmark,” katanya.
Beliau menambah, adegan tersebut menggambarkan budaya dan adat masyarakat Bali, namun penggambaran dilakukan secara profesional untuk tidak menjejaskan keimanan beliau.
“Sebagai anak seni yang berkarya di peringkat antarabangsa, saya perlu berdepan pelbagai cabaran seperti ini. Saya bersedia meneroka watak berbeza, tetapi tetap menjaga batas sebagai seorang Muslim,” kata Hazman kepada Harian Metro.
Hazman yang sudah tiga tahun berhijrah ke Indonesia turut berkongsi pengalaman berlakon di negara jiran itu yang dianggap penting bagi perkembangan seni dan kerjayanya.
Beliau menegaskan, tidak semua adegan sensitif dilakonkan sepenuhnya, malah ada babak yang hanya ditunjukkan secara simbolik mengikut skrip.
“Pihak produksi sangat menghormati pendirian saya. Karya itu tetap dihasilkan secara profesional menggunakan teknik penggambaran tertentu. Sebagai individu beragama Islam, saya tetap berpegang teguh pada prinsip dan keimanan saya,” ujarnya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
