Seorang pelajar Kolej MARA Banting, Leia Mayssa, telah berjaya mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat.
Berita ini dikongsi melalui hantaran di Facebook Hi-Edu MARA pada hari Rabu.
Leia Mayssa sebelum ini mencipta sejarah sebagai satu-satunya wakil Malaysia dan Asia Tenggara yang terpilih menyertai Math Beyond Limits (MBL), sebuah kem Matematik Antarabangsa Berprestasi Tinggi di Poland tahun lalu.
Menurut Hi-Edu MARA, Leia juga pernah mewakili Malaysia dalam International Mathematical Olympiad (IMO) 2022-2024 yang diadakan di Oslo, Norway (2022), Chiba, Jepun (2023), dan Bath, United Kingdom (2024).
Sepanjang penyertaannya, Leia berjaya meraih satu pingat gangsa dan dua Honorary Mentions, membuktikan kecemerlangannya dalam bidang Matematik di peringkat antarabangsa. Kem ini turut menghimpunkan 60 pelajar cemerlang dari 32 negara.
Atas kecemerlangannya, MIT menawarkan tempat kepada Leia dalam bidang Sains Komputer bagi sesi kemasukan tahun 2025.
Untuk makluman, MIT merupakan institusi pengajian tinggi terkemuka di Amerika Syarikat yang terkenal dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik.
Universiti ini juga telah melahirkan ramai tokoh ternama dunia, antaranya Buzz Aldrin, seorang jurutera dan bekas angkasawan yang dikenali sebagai individu kedua menjejakkan kaki di Bulan.
Pihak BPT dan Pusat PERMATA Pintar Negara turut menzahirkan penghargaan atas pencapaian luar biasa Leia dalam akademik serta pertandingan antarabangsa.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.