Dalam episod terbaharu ‘Running Man’, segmen kuiz jalanan bersama pelancong asing mencuri perhatian apabila seorang pelancong dari Malaysia berjaya membantu ahli rancangan menyelesaikan misi hanya dengan sekali percubaan.
Misi tersebut memerlukan pelancong menyambung suku kata terakhir perkataan yang diberikan ahli ‘Running Man’. Ketika giliran tiba, salah seorang ahli menyebut “Gangnam”, dan tanpa teragak-agak, pelancong Malaysia itu menyambung dengan jawapan tepat, “Namdaemun”.
View on Threads
Aksi spontan itu membuatkan semua ahli ‘Running Man’ bersorak gembira kerana berjaya melunaskan cabaran dengan mudah. Lebih menarik, peminat di media sosial khususnya di Threads meluahkan rasa bangga apabila individu dari Malaysia berpeluang muncul dalam rancangan popular Korea Selatan itu.
Rata-rata netizen menyatakan rasa teruja, malah ada juga yang mengaku sedikit cemburu kerana pelancong Malaysia tersebut seakan menjadi “tetamu khas” dalam rancangan kegemaran ramai.
“Bangga betul tengok orang Malaysia masuk Running Man walaupun sekejap!” tulis seorang pengguna Threads.
Tak dinafikan, momen singkat ini berjaya mencipta kebanggaan buat penonton Malaysia yang sememangnya mengikuti rancangan Running Man sejak sekian lama.