Menjelaskan tujuannya memiliki kedai sendiri adalah untuk mencari premis yang lebih selesa dan praktikal untuk berniaga berbanding gerainya yang teletak di tepi jalan sebelum ini, Isteri kepada Allahyarham Abam, Siti Norhidayah Mohd Ali mendedahkan premis perniagaannya dahulu tidak sistematik.
Menurutnya, gerai cempedak goreng itu kadang kala dinaiki air andai hujan melanda, malah kurang sesuai untuk membawa anaknya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang masih kecil berada di situ.
“Saya ambil masa juga iaitu selepas 5 bulan berniaga di gerai dan barulah berjaya buka kedai ini. Mula-mula saya fikir, sampai bila nak berniaga di tepi jalan dengan keadaan cuaca sekarang yang tak menentu. Kalau hujan lebat, saya tak dapat meniaga sebab tapak itu dinaiki air dan khemah akan rosak. Saya juga kesian pada Hamzah yang terpaksa berpanas dan berhujan.”
Dedah Hidayah, beliau dan arwah suaminya sebelum ini pernah menyimpan hasrat untuk membuka kedai sendiri namun tidak kesampaian.
“Kedai ini memang salah satu plan saya bersama arwah untuk menjalankan perniagaan di samping dapat mengisi masa lapang. Dan sekarang, tiba masanya untuk saya merealisasikannya. Saya ingin berterima kasih pada semua yang sentiasa menyokong saya sehingga ke hari ini.”
Terdahulu, Hidayah sempat berkongsi berita gembira dengan memuat naik foto memegang kunci kedai di Instagram miliknya.
Untuk rekod, Hidayah sebelum ini telah selamat menjadi isteri kepada pelawak terkenal Abam pada 8 Disember 2017. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini telah berusia setahun tiga bulan.
Namun begitu, Abam telah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada pagi Isnin (10 Februari) akibat demam panas.
Sumber: Gempak