Menjadi lumrah dalam kehidupan jika menggunakan khidmat seseorang haruslah diganti dengan wang atau apa sahaja sebagai tanda balasan. Terbaru, seorang peguam dilaporkan menerima ketam sebagai bayaran atau balasan setelah anak guamnya tidak mampu untuk membayar khidmatnya menggunakan duit.
Menurut laporan GMA News Online, kejadian itu berlaku di bandar Sorsogon, Filipina. Peguam yang dikenali Noel Allen Bose telah memuat naik sekeping gambar di laman Facebook di mana dia sedang memegang ketam di perkarangan luar mahkamah.
Jelasnya, anak guam itu tidak mempunyai duit untuk membayar khidmat guamannya selepas habis perbicaraan di mahkamah. Dia dengan baik hati menerima ketam itu dengan tangan terbuka.
Kisah itu tular di internet dan dia tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberikan kata-kata positif kepadanya.
“Ketam sangat mengenyangkan tetapi reaksi anda semua pada kiriman ini membuatkan hati saya lebih ‘kenyang'”.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam yang bekerja untuk kerajaan dan swasta. Mereka biasanya tidak berkongsikan mengenai cabaran yang dilalui tetapi mereka rajin dan setia pada janji mereka untuk membantu sesama warga Filipina”.
Bose turut memuat naik gambar ketam dimasak dalam periuk di ruangan Facebooknya.