Beri Jaminan Masa Depan, Suami Kini Boleh Pindah 2% Caruman Syer Pekerja Ke Dalam Akaun KWSP Isteri!

Branded

Beri Jaminan Masa Depan, Suami Kini Boleh Pindah 2% Caruman Syer Pekerja Ke Dalam Akaun KWSP Isteri!

Perhatian kepada suami di luar sana, kami nak tanya satu perkara. Pernah tak anda terlintas rasa kagum, pada masa yang sama rasa sayang kepada isteri setiap kali melihat wajah mereka?

Maklumlah, isteri memegang tanggungjawab yang besar serta memainkan peranan penting dalam keluarga seperti menguruskan rumah tangga, menjaga kebajikan anak-anak, dan macam-macam lagi. Tapi apabila anda pulang bekerja, mereka masih lagi menyambut anda dengan senyuman manis. 

Cuba anda tanya pada diri, berapa kali dalam seminggu anda menceriakan hati isteri anda? Bayangkan, isteri dapat hadiah coklat atau sekuntum bunga pun dah happy, apatah lagi kalau anda bantu mereka secure simpanan masa depan mereka. Lagi bertambah sayang!

Kalau anda nak tahu, para suami kini boleh mencarum kepada akaun isteri tau! Jom bahagiakan hati isteri dengan inisiatif i-Sayang! 

KWSP Perkenal i-Sayang, Jaminan Masa Depan Buat Para Isteri

KWSP i-Sayang

Untuk pengetahuan, i-Sayang ini merupakan inisiatif terkini yang dilancarkan hasil usahasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menjaga hak serta kebajikan wanita. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah berkata inisiatif ini adalah untuk menerapkan nilai kekeluargaan, selari dengan konsep Malaysia Madani serta menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menabung supaya mempunyai perlindungan skim keselamatan sosial untuk masa depan yang lebih cerah. 

Menariknya, menerusi inisiatif ini, para suami boleh mencarum secara sukarela sebanyak dua (2) peratus caruman syer pekerja ke dalam akaun isteri bagi memberi peluang untuk mempunyai simpanan jangka masa yang panjang tau! Wow, bagusnya!

Untuk para suami yang ingin membahagiakan isteri dengan mencarum secara sukarela, proses untuk memohon caruman ini sangat mudah serta syarat kelayakan pun tak merumitkan tau. Jom kami kongsi dengan anda. 

1. Syarat Kelayakan

Untuk suami (pemberi);

– Terbuka untuk warganegara Malaysia atau bukan warganegara

– Merupakan ahli KWSP

Melibatkan suami yang mempunyai potongan caruman yang mana hanya caruman bulanan dari majikan yang diambilkira

– Belum mencapai usia 75 tahun

– Perkahwinan bersama pasangan telah didaftarkan di bawah undang-undang Malaysia

Manakala, untuk isteri (penerima) pula;

– Mestilah warganegara Malaysia

– Merupakan ahli KWSP; bagi isteri yang belum menjadi ahli, anda boleh daftar di mana-mana kaunter pejabat KWSP atau di Kiosk KWSP dan hanya perlu bawa kad pengenalan serta cap ibu jari

– Belum mencapai usia 75 tahun

– Perkahwinan bersama pasangan telah didaftarkan di bawah undang-undang Malaysia

2. Cara Permohonan

Permohonan pendaftaran i-Sayang perlu dibuat secara sukarela oleh suami (pemberi) melalui dua (2) saluran iaitu;

– i-Akaun (Ahli); ATAU

– Pejabat KWSP yang berhampiran beserta Borang Permohonan Pendaftaran i-Sayang – KWSP 16G(SY) yang telah lengkap diisi. 

Wah, mudah saja kan? Paling penting, anda tidak perlukan sebarang dokumen sokongan semasa proses permohonan pendaftaran tau! 

Selain itu, suami (pemberi) hanya boleh memohon untuk mencarum sebanyak 2% dan tidak lebih daripada itu sepertimana yang ditetapkan oleh Kerajaan dan isteri (penerima) tidak boleh memohon untuk memindahkan caruman ke dalam akaun KWSP suami. 

Paling penting, pindahan caruman yang berjaya tidak boleh dibatalkan melainkan berlakunya penceraian atau kematian isteri (penerima).

Jadi, untuk para suami di luar sana yang ingin memberi jaminan masa depan yang cerah untuk isteri tersayang, jangan lupa apply i-Sayang okay! 

Untuk maklumat lanjut tentang i-Sayang, layari laman web rasmi KWSP atau ikuti media sosial di Facebook dan Twitter.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...