KJ semalam tampil menjawab isu hadiah ‘ciput’ yang diberikan kepada pemenang di dalam program Junior Cycling Malaysia (JCM).
KJ di dalam satu kenyataan menerusi Facebook itu berkata, dia mengakui jumlah yang diberikan adalah kecil.
Bagaimanapun beliau berkata JCM bertindak sedemikian kerana tidak mahu peserta kanak-kanak itu dibiasakan dengan hadiah wang tunai kerana risau mereka akan lupa matlamat utama untuk berjuang dalam sukan.
“Walaupun saya banyak promosikan JCM, ia hanya mendapat perhatian orang ramai apabila gambar-gambar semasa penyampaian hadiah disebarkan secara viral. Ramai yang menegur dan mengkritik jumlah wang yang kecil untuk pemenang kategori bawah umur 11 dan 9. Mereka telah menerima RM30 hingga RM10.
“Saya akui, jumlah wang yang diberikan sebagai hadiah kemenangan memang kecil. Pihak JCM memilih untuk buat demikian sebab yang paling penting untuk kategori umur kanak-kanak adalah minat, pengalaman penyertaan dan kemahuan untuk menang bukan kerana habuan wang. Jika dari peringkat kanak-kanak kita sudah biasakan mereka dengan hadiah wang tunai, saya risau mereka akan lupakan matlamat utama mereka berjuang dalam sukan.”, kata beliau.
Tambah beliau lagi, segala hadiah kemenangan telah pun diberitahu sebelum peserta mendaftar.
“Lagi pun, segala hadiah kemenangan telah pun diberitahu kepada semua peserta sebelum pendaftaran dan dipaparkan dalam laman web JCM, jadi tidak timbul isu mereka tak tahu atau tidak dihargai. Rata-rata ibu bapa yang bawa anak mereka tak fikir soal hadiah wang tetapi telah mengorbankan masa mereka kerana minat anak-anak mereka dalam sukan basikal.
Kata KJ lagi, acara pemberian mock cheque kepada pemenang di dalam program itu juga akan dihentikan serta merta.
“Kalau ada perkara yang perlu diperbetulkan adalah pemberian mock cheque kepada pemenang-pemenang. Itu akan dihentikan untuk acara-acara JCM kelak.”, katanya.
Ruangan komen posting kenyataan tersebut pula menyaksikan pelbagai reaksi dari orang ramai. Ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak bersetuju.
Program JCM adalah program pembangunan bakat untuk sukan basikal dan telah bermula pada hari Sabtu 9 April di Serdang, Selangor. Sirkit JCM akan jelajah ke setiap negeri sampai ke hujung tahun ini.