Seorang wanita mengalami kerugian hampir RM1 juta selepas terjerat dengan penipuan cinta atau ‘love scam’.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Loi Yew Lik berkata, sebelum ini mangsa itu berkenalan dengan individu mengaku dari Yaman sejak 26 Januari tahun lalu menerusi aplikasi Facebook sebelum terus berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

gambar hiasan
Sepanjang perkenalan mereka, wanita tersebut menerima dua bentuk cincin yang dikirim oleh individu itu kononnya sebagai tanda untuk berkahwin dengan mangsa.
Difahamkan, suspek sebelum ini pernah memaklumkan pada pengadu bahawa dia dimasukkan ke hospital dan mahu meminjam wang bagi membiayai kos rawatannya dan berjanji akan membayarnya balik apabila datang ke Malaysia dan berkahwin dengan pengadu.
Atas dasar cinta dan percaya, bermula 5 Februari 2024 hingga 25 Mac lalu, pengadu memasukkan wang secara berperingkat hingga mencecah jumlah keseluruhan RM925,850 melalui 166 transaksi ke dalam 15 akaun bank berbeza individu itu.
Walau bagaimanapun, pengadu kemudiannya sedar diri telah ditipu apabila mendapati individu itu tidak datang ke Malaysia, malah akaun Facebook wanita berkenaan telah disekat oleh individu terbabit.

gambar hiasan
Susulan itu, katanya, polis menerima laporan daripada mangsa pada jam 10.49 pagi 12 Mei lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Sungai Petani.
Yew Lik turut menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan ‘love scam’ secara dalam talian dan elakkan diri daripada termakan pujuk rayu serta memasukkan wang kepada individu tidak dikenali.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.