Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menolak dakwaan yang menyatakan tindakan hanya diambil selepas kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina tular di media sosial.
Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah serius yang tidak berasas dan kini tersebar secara meluas.
“Berhentilah menyebarkan berita yang tidak sahih,” tegas Fadhlina dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Tambahnya lagi, penyebaran maklumat tidak benar bukan sahaja menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, malah turut menjejaskan murid, guru serta komuniti sekolah yang tidak bersalah.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak kementerian bersedia mengambil tindakan terhadap penyebaran berita palsu dan fitnah demi menjaga keharmonian seluruh warga pendidikan.
Fadhlina turut memaklumkan bahawa beliau telah menziarahi keluarga arwah Zara di hospital Kota Kinabalu pada 17 Julai dan memastikan segala keperluan keluarga itu diberi perhatian sewajarnya. Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah turut diarahkan untuk menyalurkan bantuan segera.
Menurut Fadhlina, beliau mengikuti rapat perkembangan kes tersebut setiap hari dan menjadikan ia keutamaan utama KPM buat masa ini.
Bagi menjawab kebimbangan keluarga mangsa dan masyarakat, satu lagi kenyataan dikeluarkan pada 25 Julai yang menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak akan dilindungi sekiranya didapati melakukan salah laku.
Fadhlina menjelaskan bahawa sebarang tindakan hanya akan diambil berdasarkan hasil siasatan polis.
Saya meletakkan sepenuh keyakinan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara profesional, telus dan menyeluruh.
Dalam kita mengharapkan keadilan bagi kes ini, jangan pula menganiaya orang lain.
Untuk rekod, Zara Qairina Mahathir ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama perempuan sekitar jam 3 pagi, 16 Julai lalu.
Mangsa mengalami kecederaan dalaman yang serius dan koma sebelum alat sokongan hayat dihentikan keesokan harinya setelah disahkan tiada lagi fungsi otak oleh pihak hospital.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.